Barbershop tepati kehendak semasa - Bisnes - Sinar Harian. Dzuancharlie menawarkan pelbagai jenis potongan rambut yang terkini. KEWUJUDAN kedai gunting rambut ala hipster kebelakangan ini, umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Seiring dengan permintaan yang tinggi, kedai ini kini boleh didapati di mana-mana kawasan strategik khususnya di bandar-bandar besar. Kalau dahulu, kedai gunting rambut mamak menjadi pilihan ramai pelanggan kerana menawarkan perkhidmatan gunting rambut yang kemas dan cepat serta harga murah. Kini, kedai gunting rambut hipster pula antara saingan hebat kedai gunting tradisional dan salon kerana harga dan fesyen-fesyen yang terkini. Berikutan mengejar trend terkini, ia secara tidak langsung menjadi pilihan utama penggemar fesyen rambut khususnya remaja. Nazirul Mubin Md Razali, memilih kedai gunting rambut hipster ini kerana menyukai cara potongan rambut yang kemas menepati cita rasanya. "Saya pernah ke beberapa kedai gunting rambut seumpama ini, kemudahan yang ditawarkan dan perkhidmatan terbaik menjadi pilihan saya. "Memang banyak kedai seperti ini, saya lebih suka kerana pelanggan tidak perlu tunggu lama," katanya ketika ditemui di salah sebuah kedai gunting hipster di Shah Alam, baru-baru ini. Menurutnya, dia mengakui harga jauh berbeza sedikit dengan kedai gunting rambut mamak tetapi dia tetap memilih kedai gunting rambut hipster kerana berpuas hati dengan
gaya potongan yang diberikan. "Tidak semua jenis potongan yang sesuai dengan kita dan memuaskan hati.
Jadi bila dah suka saya akan setia pada kedai tersebut," katanya. Seorang lagi eksekutif di salah sebuah syarikat swasta, Muhamad Al-Amin Othman berkata, dia telah beralih daripada salon ke kedai gunting rambut hipster kerana kualiti dan kepuasan. "Dulu ke salon tetapi tidak 100 peratus puas hati dengan apa yang dikehendaki," katanya. Menurutnya, dia tidak berkira tentang harga asalkan memuaskan hati. Namun, Muhamad Al-Amin berkata, kedai gunting rambut hipster perlu menawarkan kad diskaun dan hadiah-hadiah percuma untuk menarik lebih ramai pelanggan. Fazli Zulkifli, pelajar institut pengajian tinggi swasta berkata, dalam sebulan dia akan datang ke kedai gunting rambut hipster ini sebanyak tiga kali. Dia tertarik dengan fesyen-fesyen potongan terkini yang ditawarkan oleh kedai gunting rambut ini. "Saya pernah ke kedai gunting rambut seperti ini. Rata-rata menawarkan perkhidmatan yang sama. Cuma yang berbeza dari segi perkhidmatan dan kualiti," katanya.
Dzuancharlie Enterprise menawarkan perkhidmatan cucian rambut percuma kepada semua pelanggan, sekali gus menjadi antara kelainan dan tarikan kedai gunting rambut hipster ini. Dibuka pada Oktober 2015, kedai gunting rambut ini dapat menarik pelanggan utamanya iaitu pelajar institusi pengajian tinggi swasta yang terletak di kawasan sekitar Seksyen 13 Shah Alam. Selain itu, kedai itu juga menawarkan keselesaan dan kemudahan bilik solat kepada pelanggan. Rakan Kongsinya, Muhammad Fitri Aimaduddin Mohd Shah berkata, kedai itu juga menawarkan pelbagai jenis potongan rambut dengan fesyen terkini daripada dua tukang gunting yang berpengalaman. Bukan itu sahaja, harga kedai itu juga jauh lebih murah berbanding kedai gunting rambut hipster yang lain iaitu RM20 bagi dewasa dan RM15 untuk pelajar. "Sejak dibuka kami menerima sambutan yang menggalakkan daripada golongan pelajar dan kami berharap dapat menarik golongan profesional. "Jumlah pelanggan juga semakin hari semakin meningkat setiap bulan," katanya. Www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang. Diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. © 2012 Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Media Karangkraf.